Tips Sebelum Memulakan Sesuatu Perniagaan – Part 1

 

Perniagaan merupakan sesuatu yang menyeronokkan dan mencabar, dan sudah pastinya anda terbayang-bayang pulangan wang ringgit yang lumayan sekiranya anda menjalankan perniagaan tersebut.

Namun hakikatnya tidaklah semudah itu. Ramai yang terlepas pandang perkara-perkara asas yang perlu mereka fikir dan lakukan sebelum terlibat dengan lebih jauh di dalam perniagaan tersebut – seperti membuat pinjaman bank, ataupun saudara mara, mengeluarkan simpanan keluarga dan sebagainya.

Pengalaman saya bekerja sebagai Pengurus Pemasaran di salah satu syarikat logistik terbesar di Malaysia membuka mata saya akan beberapa perkara mengenai keusahawanan yang saya lihat orang kita kebanyakannya terlepas pandang.

Di dalam siri asas Tips Sebelum Memulakan Sesuatu Perniagaan ini, saya akan kongsikan beberapa tips keusahawan yang saya pelajari daripada pengalaman saya. Dan sebagai permulaan, berikut adalah Tips Pertama yang ingin saya kongsikan.

Kaji & Kenali Pasaran Perniagaan Anda

Ini adalah perkara utama yang WAJIB anda lakukan sebelum melibatkan diri dengan perniagaan tersebut. Sebagai contoh sekiranya anda ingin menjalankan perniagaan menjual tudung, perkara pertama yang perlu dilakukan adalah mengenal pasti berapa besar pasaran tudung yang ada di Malaysia ini.

Persoalan-persoalan berikut harus hadir dan dikaji oleh anda sendiri seperti:

  1. Berapa ramai pengguna yang memakai tudung di Malaysia?
  2. Berapa ramai penjual tudung di Malaysia?
  3. Siapakah pengimport utama kain/tudung di Malaysia?
  4. Dan soalan-soalan lain sepertinya yang akan memberi anda gambaran sebenar tentang pasaran tudung di Malaysia.

Semua jawapan kepada soalan-soalan di atas sebenarnya boleh didapati sekiranya anda melakukan kajian di Internet. Tidak perlu jawapan yang tepat. Anggaran sahaja sudah mencukupi untuk anda memahami potensi perniagaan anda itu. Dan ingat, anda haruslah JUJUR menjawab kesemua persoalan-persoalan tersebut, demi kebaikan anda sendiri.

Proses Kesemua Maklumat Yang Telah Dikumpul

Setelah melakukan kajian seperti yang diterangkan di atas, anda kini bolehlah dikatakan memahami pasaran perniagaan anda, samada di Malaysia mahupun antarabangsa. Dan kini adalah masa untuk anda memproses segala maklumat tersebut dan membuat keputusan yang selanjutnya untuk perniagaan anda.

Sebagai CONTOH dengan merujuk kepada kajian perniagaan tudung di atas:

Anda mendapati terdapat anggaran lebih kurang 5 juta orang Muslimah di Malaysia (anggarkan kesemuanya memakai tudung) – dan seramai lebih kurang 2 juta peniaga tudung di Malaysia. Adakah anda fikir anda boleh menembusi pasaran tersebut?

Anda kena ingat bahawa pasaran anda hanyalah 5 juta pengguna itu sahaja. Mampukah anda memberikan harga yang kompetitif berbanding dengan pengimport – pengimport besar seperti Jakel, dan sebagainya?

Persoalan-persoalan seperti inilah yang harus dijawab secara jujur oleh anda. Ianya juga akan turut membantu anda merangka strategi pemasaran anda untuk menembusi pasaran tersebut (seperti membuat tudung yang mudah disarung, dan sebagainya).

Saya tahu ramai yang akan memberikan jawapan yang subjektif seperti “Ohh..tudung saya lain..berkualiti tinggi”, ataupun yang lebih menyedihkan lagi..”Tidak mengapa, tudung saya dijual dengan harga yang lebih murah”. Jawapan-jawapan seperti inilah yang sebenarnya membuatkan ramai peniaga-peniaga kita gagal dek sebab menidakkan realiti pasaran, dan akhirnya tersungkur layu di tasik madu hanya setelah beberapa tahun menjalankan perniagaan.

Sepatutnya dengan memahami pasaran tersebut, anda akan menjadi seorang yang lebih berinovasi lagi terhadap produk anda. Sebagai contoh terhadap pasaran perniagaan tudung di atas, anda mungkin boleh mencipta satu fesyen tudung yang baru, bukannya mengikut fesyen tudung yang sedia ada! “Be creative! You should make it fun, even for yourself!” Dan sekiranya anda menjadi pelopor fesyen tudung yang baru, anda boleh menjualnya dengan harga yang lebih tinggi!

Selain itu, peperangan harga juga merupakan suatu yang saya ingin tekankan di sini bahawa ianya SAMA SEKALI TIDAK BAGUS untuk perniagaan anda. Dengan menjual produk (contoh: tudung) yang lebih murah berbanding pesaing anda, anda mungkin boleh mendapat keuntungan dalam masa yang singkat tetapi percayalah, hanya waktu sahaja yang akan menentukan, sebelum syarikat/peniaga lain yang mempunya modal yang lebih besar mendapatkan kesemuanya secara pukal dan menjual pada harga yang lebih rendah lagi. Apakah pada masa itu anda akan merendahkan lagi harga anda?

Kesimpulannya, perniagaan & keusahawan sememangnya sesuatu yang menyeronokkan dan mencabar, selagi mana anda terus bersungguh-sungguh dan menanamkan cinta & minat terhadap apa yang anda lakukan.

Bak kata orang tua-tua zaman dahulu, “bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian”.

Teruskan bersama kami di IAMK Learning Centre untuk mendapatkan tips-tips perniagaan secara PERCUMA. Jangan lupa share sekiranya anda merasakan ianya berguna! ๐Ÿ˜‰

IAMK Admin

Head of Social Media Manager & Promotion in private sectors for more than 7 years - before he founded IAMK in 2016. Wanna talk? Drop an email to me at faizal@iamk.com.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *